Sabtu, 27 Mac 2010

Wacana Pemantapan Amalan Pedagogi MGC Besut 1/2010



Hari ini telah berlangsung dengan jayanya Wacana Pemantapan Amalan-amalan Pedagogi dan Perbincangan Profesional yang dianjurkan oleh Majlis Guru Cemerlang Daerah Besut. Majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat SMK Tengku Mahmud telah berjaya mengumpulkan lebih kurang 28 orang guru dari negeri Terengganu dan Kelantan.
Pengerusi Majlis Guru Cemerlang Daerah Besut, Tuan Haji Pakri bin Abidin berharap pertemuan-pertemuan bersifat akademik dan profesional seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa-masa akan datang. Tugas guru kini semakin mencabar. Oleh hal yang demikian itu, kata beliau, guru perlu bersedia untuk berdepan dengan masalah-masalah tersebut dengan meningkatkan pengetahuan terutama dalam amalan pedagogi dan keilmuan.

Puan Hajah Fariza Nurbaya, GC Bahasa Melayu pula memberi beberapa saranan dalam menguruskan bilik darjah ke arah pengajaran dan pemelajaran yang berkesan. Bagi beliau, selain daripada penguasaan ilmu, guru juga mestilah mempunyai kemahiran dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Guru juga mestilah mempunyai ciri-ciri peribadi dan personaliti yang menarik, mempunyai kemahiran berkomunikasi sama ada secara verbal dan nonverbal. Guru juga seharusnya mampu mengawal disiplin sepanjang proses P&P selain mempelbagaikan kaedah, teknik, strategi dan bahan dalam P&P. Suasana dan iklim kelas juga memainkan faktor penting dalam menghasilkan P&P yang berkesan dan menarik. Oleh hal yang demikian itu, beliau menyarankan agar guru memastikan P&P hanya bermula apabila kelas benar-benar bersih, ceria dan selamat sebelum memulakan P&P.

Mjalis ini juga dihadiri oleh beberapa orang Guru Cemerlang dari Kelantan. Terima kasih diucapkan kepada Tuan Haji Shamsudin Mohamad, Pengerusi Majlis Guru Cemerlang Kota Bharu, Tn Haji Aziz Mohamad dan Encik Ahmad Yani Salleh yang sudi hadir dan berkongsi pendapat dan pandangan.

Tuan Haji Mohamad Jaafar bin Mamat, Pensyarah Kanan IPG Kampus Sultan Mizan berharap program-program seperti ini hendaklah sentiasa dijalankan dari masa ke masa, yang bukan sahaja membicarakan persoalan pendidikan, tetapi juga peluang-peluang kerjaya seseorang guru.

Tiada ulasan:

Catat Komen